Kontinjen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menurunkan bendera SUKMA ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

SUKMA Sarawak tutup tirai, giliran Selangor cipta sejarah

KUCHING, 24 OGOS: Tirai temasya sukan berprestij negara Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dilabuhkan secara rasmi dengan penuh warna-warni di Stadium Perpaduan di sini malam ini, sebelum menyerahkan baton kepada Selangor.

Penutupan kejohanan edisi ke-21 yang menawarkan 488 pingat emas membabitkan 37 jenis sukan di sembilan bahagian seluruh Sarawak disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Anwar juga menyampaikan anugerah atlet lelaki terbaik kepada jaguh renang Selangor Andrew Goh Zheng Yen dan atlet wanita terbaik kepada Gan Chen Jie (ratu menembak Negeri Sembilan) serta juara keseluruhan SUKMA 2024, Sarawak.

Majlis penutupan temasya dwitahunan dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri diikuti penyerahan bendera SUKMA oleh Abang Johari kepada Amirudin yang mewakili Selangor sebagai simbolik tuan rumah temasya itu pada 2026.

Acara turut dihangatkan dengan persembahan pembukaan ‘Sporty Dance’ melibatkan 230 pelajar sekolah rendah dan persembahan kebudayaan Joget Selangor selaku tuan rumah pada 2026.

Ia termasuk persembahan penyanyi terkemuka Bob Yusof yang juga anak jati Sarawak, kumpulan De’Fam serta ratu rock Ella yang mendendangkan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World.

Selain itu, penonton dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Sarawak dan pertunjukan bunga api.

Bertemakan Matlamat Perpaduan Membara, SUKMA yang berlangsung dari 17 Ogos menyaksikan Sarawak juara keseluruhan dengan merangkul 76 emas diikuti Wilayah Persekutuan (75 emas) dan Selangor (56 emas).

Kali pertama Sarawak menjadi penganjur SUKMA pada 1990 manakala penganjuran terakhir lapan tahun lalu.

 


Pengarang :