Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah atlet terbaik lelaki kepada atlet Selangor, Andrew Goh Zheng Yen ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Jaguh renang Selangor Andrew Goh dinobat Olahragawan SUKMA 2024

KUCHING, 25 OGOS: Jaguh renang Selangor Andrew Goh Zheng Yen dinobat atlet lelaki terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak selepas membolot lima emas dari Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Kejayaan itu melayakkan perenang berusia 20 tahun berkenaan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan trofi yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Penutup SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini malam tadi.

Andrew menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan terbesar pada penampilan terakhirnya di SUKMA selain menyuntik motivasi mencipta kejayaan lain pada masa akan datang.

“Kerja keras akhirnya terbalas. Saya tidak akan berhenti di sini sebaliknya akan terus bekerja kuat untuk meraih sesuatu lebih baik selepas ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng selepas mengalungkan pingat emas acara 50 meter(m) kuak dada lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya perlu buktikan mengapa mereka pilih saya sebagai atlet terbaik SUKMA,” katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp.

Sepanjang saingan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini dari 19 hingga 23 Ogos, penuntut tahun dua jurusan nutrisi di Grand Valley State University, Amerika Syarikat (AS) itu memperbaharui tiga rekod kebangsaan dan lima rekod temasya.

Pada hari terakhir saingan semalam, Andrew bergandingan dengan Teoh Kar Chuan, Jayden Goh Li Jie dan Loke Yew Jien menyambar pingat emas acara 4x100m rampaian lelaki dengan catatan masa baharu 3 minit 49.12 saat (s).

Catatan berkenaan memadam rekod lama milik kuartet Selangor 3:49.98s dilakukan pada edisi 2016.

Dua hari sebelum itu, Andrew memperbaiki rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50m kuak dada lelaki dengan mencatat 27.40s, memadam 28.03s yang dilakukan dalam saringan ketiga acara berkenaan.

Pada 19 Ogos, Andrew turut memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m kuak dada dengan catatan 1:01.39s, mengatasi rekod lama miliknya 1:02.30s dicatatkan pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA milik Wong Fu Kang 1:03.05s pada edisi 2016.

Beliau turut memenangi pingat emas acara 200m kuak dada dengan rekod baharu SUKMA selain dua pingat emas dalam acara 200m rampaian individu dan 4×100 rampaian campuran.

Sementara itu, ratu menembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie dinobat atlet wanita terbaik SUKMA 2024 apabila menyambar semua emas daripada tujuh acara disertai.

Penembak berusia 20 tahun itu turut memecah dua rekod SUKMA bagi acara individu air rifle 50m tiga posisi dan individu air rifle 10m.

 

Pasukan renang Selangor dibarisi Khar Chuan Teoh (kanan, belakang), Andrew Goh Zheng Yen (kiri, belakang), Shun Qi Lim (dua, kanan, hadapan), Zi Xian Khew (kiri, hadapan) meraih emas acara 4×100 meter (m) rampaian campuran di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :