Jalan Sultan Azlan Shah di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan pada 22 Ogos 2024. Foto Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
AGENDANASIONAL

Menteri: DBKL teliti semula langkah atasi banjir kilat di ibu kota

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti semula tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata DBKL akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil langkah terbaik bagi menangani bencana alam itu.

“Saya juga telah dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif) bahawa DBKL juga sedang mengenal pasti kawasan hotspot banjir kilat,” katanya pada sidang media mengenai kejadian bencana di ibu kota di Menara 1 DBKL di sini semalam.

Mengulas banjir kilat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini Khamis lalu, Dr Zaliha berkata kejadian itu berlaku susulan kadar hujan terlalu tinggi menyebabkan kenaikan air begitu pantas.

Sebelum ini, dilaporkan sebahagian besar kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta WTCKL ditenggelami air sedalam hampir setengah meter akibat hujan lebat dan kira-kira 50 kenderaan diletakkan berdekatan Sungai Gombak turut terjejas.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata insiden tanah runtuh yang berlaku di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang pada Khamis lalu disebabkan masalah struktur tanah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata DBKL serta agensi berkaitan memantau lebih dekat dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara itu.

“Kita juga akan melakukan beberapa ujian terhadap struktur tanah supaya tindakan lebih mampan diambil bagi memastikan keselamatan di kawasan itu. Ini (langkah) buat sementara yang kita sedang lakukan,” katanya.

Dalam kejadian itu, hujan lebat berterusan menyebabkan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya berhampiran Kem Wardieburn runtuh sehingga menjejaskan sebuah rumah.

Seramai 52 penduduk melibatkan 17 rumah teres di lokasi berkenaan juga diarahkan berpindah serta-merta.

– BERNAMA


Pengarang :