Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa terjatuh dan tertimbus tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tanah jerlus: Operasi disambung pagi ini, dua lurang kumbahan tumpuan penyelamat

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini disambung pagi ini selepas ditangguhkan 7 malam tadi.

Operasi pencarian yang bermula 9.30 pagi itu ditumpukan di lurang kedua di Jalan Melayu dan ketiga di persimpangan Jalan Melayu.

Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR di hadapan Malayan Mansion dibuka secara berperingkat selepas usaha pencarian di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh menemui jalan buntu.

Difahamkan, operasi SAR hari ini melibatkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Indah Water Konsortium.

Tinjauan mendapati ahli keluarga berada di lokasi kejadian seawal 8 pagi dan anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, diberikan penerangan berhubung operasi itu dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam berbangsa India yang bertindak sebagai jurubahasa.

Pengamal media turut berada di lokasi kejadian sejak 8 pagi untuk membuat liputan pencarian wanita warga India terbabit yang memasuki hari ketiga.

Pemerhatian mendapati kebanyakan peniaga berdekatan lokasi itu tidak membuka premis perniagaan mereka.

Jumaat lalu, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi.

Mangsa, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran untuk bersarapan sebelum kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :