Orang ramai membuat pendaftaran di kuanter ASNB ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

MSAM bantu pengunjung lebih mengenali produk terkini institusi kewangan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 meningkatkan pengetahuan pengunjung mengenai produk dan perkhidmatan terkini ditawarkan pelbagai institusi kewangan.

Selain mendapat pendedahan terperinci mengenai pengurusan kewangan jangka pendek dan panjang, pengunjung turut mendapat pendedahan tentang simpanan kewangan, pelaburan, persediaan tabungan persaraan serta simpanan emas daripada pempamer di program berkenaan.

Rata-rata pengunjung daripada pelbagai latar belakang teruja dengan promosi serta tawaran khas bagi produk pelaburan, aktiviti menarik dan interaktif serta cenderahati ditawarkan di setiap reruai.

Pengunjung berpeluang bermain pelbagai jenis permainan yang berkaitan ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Berikut reaksi pengunjung:

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam, Noorazizah Hassin, 37

“Program ini memberi peluang pelajar sekolah belajar lebih banyak mengenai bidang kewangan yang cabangnya sangat luas.

“Ia bukan hanya hanya berkaitan jual beli tetapi turut merangkumi pelaburan, hartanah dan banyak lagi. Kami bawa 120 pelajar dari pelbagai peringkat terutama tingkatan empat dan lima jurusan perakaunan untuk beri ilmu baharu kepada mereka.”

Jurutera, P Logambigai, 31

“Di sini pelbagai institusi perbankan dikumpulkan di bawah satu bumbung. Jadi mudah untuk kita buat perbandingan institusi mana yang beri pulangan pelaburan terbaik kepada pelanggan.

“Jika tidak dianjurkan majlis seperti ini susah juga kita nak dapatkan maklumat terperinci mengenai produk ditawarkan mereka.”

Suri rumah, Sabrina Ng, 44

“Saya dan suami bawa anak berusia 11dan 12 tahun ke sini untuk pastikan mereka celik kewangan. Dari usia muda perlu ajar mereka mengenai kepentingan simpanan dan pelaburan.

“Dari kecil perkara paling asas perlu ajar mereka mengenai simpanan. Jadi di MSAM kami perkenalkan mereka dengan pelbagai institusi perbankan dan pelaburan.”

Kakitangan swasta, Hasrul Nizam Hassan, 42

“Saya datang sini sebab ingin tahu lebih mendalam mengenai Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB). Tahun lepas adik saya pergi di Pulau Pinang. Jadi dia cadangkan untuk saya ke sini tahun ini untuk tahu lebih banyak mengenai pelaburan.

“Di sini juga ada pelbagai promosi hartanah untuk kita survey dengan promosi menarik yang ditawarkan.”

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Nurul Shahfiqa Roslee, 31

“Semalam saya sudah datang tapi tidak sempat singgah ke semua reruai. Jadi hari ini datang lagi.

“Saya suka promosi yang ditawarkan di MSAM, contohnya jika kita masukkan minimum RM10 ke dalam akaun ASB, akan dapat cenderahati dan ini tiada di tempat lain.”

Eksekutif Teknologi Maklumat, Mohd Irfan Ghazali, 34

“Saya datang ke sini untuk mendaftar kad perubatan dan takaful untuk anak dan isteri kerana banyak pilihan dan promosi ditawarkan.

“Selain itu banyak ilmu mengenai pengurusan kewangan yang boleh kita dapat di sini yang mana kalau di luar tidak semua info boleh kita dapat.”

Orang ramai membuat pendaftaran di kuanter ASNB ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
Orang ramai mengimbas kod QR bagi memenangi cabutan tahunan Bank Islam ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
Orang ramai membuat pendaftaran Insuran Takaful ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarang :