Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat ruang pameran pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kusel selaras pemetaan utiliti bawah tanah, elak insiden luar jangka

SHAH ALAM, 25 OGOS: Penubuhan Koridor Utiliti Selangor (Kusel) sejak empat tahun lalu membantu pentadbiran negeri menyelaras sistem pemetaan utiliti bawah tanah, kata Dato’ Menteri Besar.

Meski melibatkan kos yang tinggi, agensi itu menurut Dato’ Seri Amirudin Shari bertanggungjawab memantau pendaftaran dan penyusunan utiliti bagi mengelak insiden luar jangka.

“Kadangkala kerajaan terpaksa berbelanja lebih kerana pengalihan utiliti diperlukan untuk suatu projek infrasturuktur. Kosnya adakala meningkat antara empat ke lima kali ganda.

“Menerusinya, perancangan dapat disediakan awal, projek direncana siap ikut jadual dan dapat menyusun kemudahan yang ingin dibangunkan supaya kos lebih efektif,” katanya hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau mengulas perancangan dan persediaan Kerajaan Negeri berhubung pemetaan utiliti bawah tanah berikutan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditemui selepas majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2024 di sini, Amirudin berkata kejadian luar jangka di Jalan Masjid India peringatan buat semua supaya lebih berhati-hati.

Beliau menjelaskan laporan penuh juga perlu diperolehi bagi mendapatkan maklumat lengkap kejadian yang menyebabkan seorang pelancong asing terjatuh, termasuk mengenal pasti punca.

“Kita kena bersiap siaga (tetapi) kita tidak boleh membuat kesimpulan terlalu awal. Apa yang penting bagi kita untuk beri perkhidmatan, jamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Jumaat lepas, seorang wanita yang juga pelancong dari India hilang selepas terjatuh dalam lubang lapan meter berikutan insiden tanah jerlus di Masjid India pada jam 8.20 pagi.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.


Pengarang :