BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Selera warisan, juadah tradisional kian pupus dek makanan moden

Di sebalik kepelbagaian makanan moden yang semakin popular, terdapat hidangan warisan yang kian dilupakan generasi hari ini. Juadah ini dahulunya menjadi kebanggaan masyarakat, sering dihidangkan dalam majlis kenduri, perayaan atau sebagai santapan harian.

Seiring perubahan zaman, banyak juadah tradisional semakin sukar ditemui, malah ada yang hampir pupus. Kuih-muih klasik seperti dangai dan karas serta masakan seperti pais ikan dan tempoyak daun kayu, semakin jarang dijual di pasaran.

Generasi muda pula lebih cenderung kepada makanan moden yang mudah didapati dan berasaskan arus semasa sedangkan makanan tradisional menjadikan sesebuah budaya itu lebih istimewa.

Wartawan NAZLI IBRAHIM menyenaraikan antara juadah yang semakin ditelan zaman menurut Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Gejabuk

Hampir sama dengan serunding kelapa, hidangan ini sesuai dimakan bersama pulut, lemang dan nasi himpit.

Menggunakan kelapa parut sebagai bahan utama, hidangan ini menggunakan udang kering bersama bawang merah, bawang putih, kunyit, lengkuas, serai dan cili kering.

Halwa betik

Sejenis manisan berasaskan buah betik yang pernah popular ketika raya. Walaupun bahannya agak ringkas cuma memerlukan gula pasir, gula batu, kapur sirih, pewarna dan air namun penyediaannya agak melecehkan.

Buah betik diukir dan direndam dengan air kapur dan pewarna. Kemudiannya akan dicurahkan dengan air gula berulang-ulang kali setiap hari hingga tempoh satu minggu atau lebih mengikut kehendak pembuat.

Kuih kacau labu

Sama seperti namanya, kuih ini menggunakan buah labu sebagai bahan asas. Buah labu direbus hingga empuk dan ditumbuk lumat sebelum dikacau bersama gula, santan dan telur hingga adunan menjadi pekat.

Hidangan pencuci mulut ini sering disajikan di majlis kenduri-kendara, selain disediakan untuk hantaran majlis pertunangan atau perkahwinan.

Gemblong

Ada yang memanggilnya pulut tumbuk. Hidangan tradisional ini juga menggunakan bahan yang ringkas, hanya beras pulut, kelapa dan garam sahaja.

Sesuai dimakan dengan ikan masin, sambal, rendang, serunding atau boleh juga dimakan begitu sahaja. Lazimnya disediakan semasa kenduri doa selamat atau sambutan raya.

Wajik sirat

Sesetengah tempat memanggil kuih ini jenang kerisek. Rasa manis dan teksturnya yang agak unik kerana biji halus beras pulut boleh terasa ketika memakannya.

Kalau di Selangor, boleh dijumpai di majlis kenduri kahwin masyarakat Jawa. Kuih klasik ini juga boleh ditemui pada hari raya.

Punten

Salah satu sajian orang Jawa yang sangat enak. Biasanya ia dicicah dengan sambal hijau ikan bilis. Boleh ditemui di majlis keraian atau hidangan petang.

Asas punten adalah beras yang dimasak (nasi) lembik bersama santan, kemudian dicetak atau dikepal menjadi bentuk lonjong.


Pengarang :