Sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa serta petugas ketika tinjauan hari keenam kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights pada 6 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sukarelawan negeri teruskan kerja bersih laluan Taman Putra Harmoni

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sukarelawan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) meneruskan kerja pembersihan esok di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Ketua Operasi Team Selangor, Sadina Suffian berkata kerja pembersihan hanya membabitkan laluan kawasan perumahan di Taman Putra Harmoni dan tidak melibatkan rumah persendirian.

“Setakat ini pihak berkuasa hanya membenarkan 50 orang sahaja sukarelawan masuk untuk membersihkan kawasan, iaitu 15 orang daripada Team Selangor dan selebihnya sukarelawan SERVE.

Ketua Operasi Team Selangor Sadina Suffian bercakap kepada media ketika bergotong-royong menyediakan juadah raya anjuran Pejabat Menteri Besar di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kerja pembersihan juga diselia dan dipantau pihak KDEB Waste Management (KDEBWM) yang melibatkan pembuangan tanah dan sampah sarap yang terhasil akibat kejadian kebakaran,” katanya kepada Media Selangor.

Sadina berkata, orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh mendaftar melalui laman Facebook Team Selangor di pautan berikut: https://bit.ly/sukarelawanbencanaTS.

“Kepada rakyat yang prihatin dan ingin menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, bolehlah mengikuti perkembangan dan maklumat terkini melalui Facebook atau Telegram rasmi Team Selangor,” katanya.

Media Selangor sebelum ini melaporkan, sukarelawan SERVE dan Team Selangor mula digerakkan ke Putra Heights bermula Jumaat lalu bagi membantu proses pembersihan.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa 150 kit makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diberikan kepada keluarga mangsa insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights pada 6 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

 


Pengarang :