Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika ditemui pemberita selepas meninjau situasi terkini berkenaan kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Unsur jenayah, kecuaian bukan fokus tunggal siasatan kebakaran Putra Heights

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Meskipun elemen jenayah dan kecuaian menjadi antara fokus siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), faktor lain turut diambil kira dalam usaha mengenal pasti punca kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata antara faktor yang sedang dipertimbangkan termasuk pergerakan tanah di bawah permukaan lokasi kejadian.

“Buat masa ini, siasatan polis turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur jenayah dan kecuaian. Ada yang berpendapat ia berpunca daripada kesilapan manusia semata-mata, namun terdapat juga kemungkinan berlakunya pergerakan tanah di bawah permukaan.

“Tekanan tinggi daripada aliran air serta pelbagai faktor lain juga boleh menjadi penyumbang kepada insiden ini,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Selain itu, Razarudin memaklumkan siasatan di lokasi turut melibatkan lebih 10 agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan forensik.

“Siasatan juga merangkumi aspek geoteknikal, iaitu keadaan tanah di kawasan ‘ground zero’ kerana elemen itu penting dalam keseluruhan siasatan.

“Polis, bomba dan pasukan forensik sedang menjalankan penilaian keselamatan di lokasi tersebut, manakala pihak bomba memastikan semua siasatan forensik dilaksanakan dengan pemantauan keselamatan yang rapi,” katanya.

Menurut beliau, tindakan itu penting bagi menentukan kestabilan tanah di kawasan kejadian sekali gus mengelakkan sebarang risiko berulang seperti kejadian tanah jerlus.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata aspek keselamatan dan kesejahteraan orang awam di kawasan tersebut sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa.

Insiden kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini daripada 437 rumah yang telah diperiksa, 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kebakaran pada struktur melebihi 40 peratus manakala 81 rumah lain dikategorikan sebagai separa musnah

Beliau turut memaklumkan 57 rumah turut terbakar tanpa menjejaskan struktur binaan, manakala baki 218 rumah didapati tidak terkesan akibat insiden berkenaan.

– BERNAMA

 


Pengarang :