NASIONAL

Cuti tambahan 4 hari jika PAKATAN bentuk Kerajaan Persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) bersedia untuk memberikan cuti tambahan kepada rakyat Malaysia pada Khamis dan Jumaat (10 dan 11 Mei) jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, rakyat bakal menikmati lima hari cuti umum iaitu Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad  ditambah dengan cuti umum yang jatuh pada hari pengundian, pada 9 Mei ini.

“PAKATAN apabila mendirikan kerajaan akan memberikan cuti, pada Khamis dan Jumaat.

“Saya seorang yang tidak suka cuti tetapi sedar orang lain suka cuti. Negara kita ini terlalu banyak cuti, tetapi ini kalilah,” katanya pada Majlis Taklimat Calon-Calon Pakatan Harapan PRU-14, di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Katanya, rakyat perlu keluar mengundi walaupun diadakan pada hari Rabu dan baginya tidak menjadi ‘kesalahan’ ponteng kerja serta keluar menjalankan tanggungjawab sebagi rakyat Malaysia.

“Kita minta semua pengundi ponteng kerja kerana apa akan dilakukan ini (mengundi) memberikan kesan kepada seluruh negara.

“Mengundi adalah satu tanggungjawab besar kepada rakyat kerana kalau ponteng kerja, maka saya ingat itu halal bagi kita,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan kekal menggunakan satu logo iaitu logo KEADILAN dalam PRU14 walaupun sebelum ini berhadapan masalah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

 

 


Pengarang :