NASIONAL

Jangan sombong, pegang pada janji laksana tanggungjawab

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 APR: Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengingatkan calon terpilih supaya tidak sombong dan berpegang kepada tanggungjawab yang bakal dipikul.

Beliau berkata, walaupun tidak semua yang dipilih akan memuaskan hati semua pihak tetapi perasaan itu perlu diketepikan demi meraih kemenangan.

Katanya, watikah diterima adalah satu tanggungjawab walaupun terdapat calon yang pertama kali bertanding serta pernah menang.

“Tiada lain lebih baik tetapi andalah menjadi calon Pakatan Harapan yang memikul harapan untuk kita menang.

“Yang tidak terpilih itu adat, kita mengakui kadang-kadang terguris di hati dan terasa hati, namun ramai lagi yang tidak dapat apa-apa untuk perjuangan ini.

“Kita bertanggungjawab ubah kerajaan dan ia amanah yang berat,” katanya.

Bercakap pada Majlis Taklimat Calon-Calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, beliau turut mengingatkan calon supaya tidak memandang remeh usaha mendekati pengundi.

Beliau berkata, Barisan Nasional pastinya enggan memberikan kemenangan mudah kepada PAKATAN dan semua jentera perlu bekerja keras dengan iltizam membawa perubahan buat rakyat.

“Mereka yang memegang kuasa tidak sesekali akan melepaskannya dengan mudah dan memberikan kemenangan bergolek. Sebab itu, kita kena kerja keras

“Anda pejuang negara, pegang iltizam ini dengan pegang pada janji dan nilai. Insya Allah, kita peroleh kemenangan,” katanya.


Pengarang :