NASIONAL

Siasatan tanah runtuh Pulau Pinang selesai minggu depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Laporan siasatan kejadian tanah runtuh yang meragut lapan nyawa, di Pulau Pinang dijangka siap minggu hadapan.

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya juga akan melihat semula sama ada pembinaan berkenaan mengikut prosedur operasi standart (SOP) atau sebaliknya.

“Kita akan semak semula dan semuanya masih dalam siasatan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Pulau Pinang akan diminta untuk menyemak semula bangunan yang sudah selesai dibina.

“Ini kerana melalui pindaan yang baru dikeluarkan, mungkin ada bangunan yang sudah dibuat tetapi tidak mengikut SOP ditetapkan, jadi semakan perlu dibuat semula,” katanya.

Sebelum ini, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira jam 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik, di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dan dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan.


Pengarang :