Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, ini memandangkan daripada 2,013 pengusaha harumanis, hanya 39 sahaja yang mempunyai sijil myGAP.
“Kita nak pengusaha mempelam berdaftar kerana apabila berdaftar dengan myGAP, kualiti buah akan lebih terjamin dan sentiasa diberi perhatian kerana pengusaha akan mengikuti pelbagai garis panduan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas program Bual Bicara Sembang Santai bersama Sim dan pengusaha harumanis di sini semalam.
Sim juga turut melepaskan konvoi jualan harumanis ke seluruh negara.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak dan Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad.
Sim berkata apabila pengusaha ini mendaftar, pengguna akan berasa lebih terjamin dari segi kualiti buah dan hasil akan menjadi lebih baik sekali gus memberikan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha dan petani.
Dalam pada itu, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian telah memperkenalkan kod QR sebagai teknologi terbaharu kepada harumanis yang membolehkan pembeli menyemak lokasi buah itu dikeluarkan dengan hanya mengimbas menggunakan telefon pintar.
Pada program itu juga, Sim turut melancarkan jualan harumanis secara online yang membolehkan pengusaha dan petani memasarkan harumanis mereka menerusi Agro Bazar Online.
Menerusi kaedah ini, pengguna boleh membeli buah yang akan dihantar terus kepada mereka tanpa pembabitan orang tengah selain menjimatkan masa.
Sim juga berkata Festival Harumanis sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 akan diperkenalkan sebagai Agropelancongan yang akan membantu melonjakkan nama Perlis.
-BERNAMA