SELANGOR

Boling Liga Piala Datuk Bandar MBPJ tawar hadiah lumayan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kejohanan Boling Liga Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memasuki penganjuran edisi ketiga mempertaruhkan hadiah keseluruhan hampir RM120,000 kepada peserta.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, kejohanan itu diadakan di Wangsa Bowl @ One Utama bermula 27 Jun lalu, setiap Khamis jam 9 malam dengan setiap pasukan akan bertanding selama 25 minggu.

Katanya, sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan yang dijangka berakhir pada 19 Disember tahun ini.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM10,000 bersama piala pusingan serta piala iringan, naib juara pula akan membawa pulang wang tunai RM6,000 bersama piala iringan manakala pemenang tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM4,000 bersama piala iringan.

“Bagi tempat keempat hingga ke-26 pula masing-masing akan menerima hadiah sagu hati berbentuk wang tunai dan baucar,” katanya dalam kenyataan.

MBPJ berkata, kejohanan itu turut menawarkan hadiah sampingan bagi kategori ‘team high game’ dan ‘team hi series’ yang bakal menerima hadiah berjumlah RM500 untuk peserta kumpulan.

“Bagi kategori individu iaitu ‘Ind Hi Game’ (lelaki & wanita) setiap peserta berpeluang memenangi wang tunai RM200 beserta peti sejuk mini dan ‘Ind Hi Series’ (lelaki & wanita) akan menerima hadiah berjumlah RM200 serta telefon pintar Huawei Y9 2019.

“Penganjur akan memberi hadiah ‘score exactly’ kepada peserta kejohanan yang dapat melakukan markah jatuhan pin ‘251’, ‘275’ dan ‘281’ dengan menawarkan hadiah wang tunai RM200, manakala bagi jatuhan pin ‘300’ (perfect game) akan menerima sebuah motosikal jenama Modenas MR2,” katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar merasmikan kejohanan yang mendapat penajaan bersama Wangsa Bowl, 100Plus, Palm Garden IOI Resort & Hotel dan Berjaya Mega Motor, di sini, baru-baru ini.


Pengarang :