Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Selangor belanja lebih RM2 bilion beri bantuan air percuma

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dalam masa lebih sedekad, Selangor membelanjakan lebih RM1.8 bilion bagi melaksanakan Program Pemberian Air Percuma sehingga 31 Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kos bagi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) berkenaan dijangka meningkat sehingga mencecah RM220 juta lagi hujung tahun ini.

“Bermula 1 Jun 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan program air percuma sebanyak 20 meter padu pertama, atau bernilai RM11.40, setiap bulan kepada semua pengguna di Selangor.

“Selain itu, penghuni rumah pangsa yang menggunakan meter pukal yang layak turut menikmati program air percuma ini bermula dari Jun 2010.

“Ia dapat dinikmati semua peringkat pendapatan walaupun tujuan asal adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, program air percuma akan disusun semula bermula 1 Mac tahun hadapan bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah dalam Skim Air Darul Ehsan.

“Bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal pula dengan kumpulan pendapatan sama perlu mendapat pengesahan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

“Keputusan menjajarkan semula skim air percuma ini diambil atas faktor peningkatan jumlah penduduk saban tahun yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan yang dibelanjakan bagi menampung perbelanjaan skim air percuma ini,” katanya.

Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan bermula Isnin ini (30 September) sehingga 31 Disember 2019.

Menteri Besar juga berkata pendaftaran ini akan disemak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menentukan mereka yang layak.

“Pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 1 Mac 2020,” katanya.

Seramai 1.6 juta pengguna yang sedang menikmati program sedia ada sejak 2008 akan terus menikmati subsidi sehingga 29 Februari 2020.

Pengguna yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan yang boleh dimuat turun atau diperolehi melalui saluran berikut:

• Laman web: www.airselangor.com
• Kaunter Perkhidmatan di semua sepuluh pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
• Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Negeri
• Hubungi talian 15300 untuk pertanyaan dan bantuan

Borang permohonan yang diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected] atau diserahkan di kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.


Pengarang :