Kenderaan terpaksa mengharungi banjir untuk ke Rantau Panjang berikutan limpahan air Sungai Golok ketika tinjauan Bernama pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan, Johor hampir pulih, Sabah meningkat

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Keadaan banjir yang melanda Kelantan dan Johor sejak beberapa minggu lepas beransur pulih dengan jumlah mangsa berkurangan di kedua-dua negeri berkenaan, namun bilangan mangsa bencana itu di Sabah meningkat setakat 8 pagi ini, berbanding semalam.

Di Kelantan, jumlah mangsa turun kepada 1,243 orang daripada 459 keluarga berbanding 1,322 mangsa membabitkan 490 keluarga malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM memaparkan​​​​​, 1,093 mangsa daripada 422 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, manakala di Jeli kekal dengan 150 mangsa daripada 37 keluarga yang menghuni dua PPS.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 9.72 meter (bahaya 9.0 meter) manakala semua sungai utama lain kini berada di paras normal.

Berdasarkan tinjauan Bernama, cuaca pagi ini cerah manakala tiada sebarang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, Polis Kelantan mengesahkan lima mangsa terkorban sepanjang gelombang pertama dan kedua banjir yang melanda negeri itu, setakat ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang berada di PPS di Segamat dan Batu Pahat berkurangan kepada 488 orang daripada 111 keluarga pagi ini, berbanding 613 orang daripada 143 keluarga, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon menerusi satu kenyataan berkata, setakat 8 pagi ini, 12 PPS masih dibuka dengan 10 daripadanya di Segamat manakala dua di Batu Pahat.

Katanya, kesemua 451 mangsa daripada 104 keluarga di Segamat melibatkan penduduk dari Kampung Kolam Air, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah, Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Pogoh, manakala 37 orang daripada tujuh keluarga di Batu Pahat melibatkan penduduk di Parit Sulong dan Kampung Peserai Lama, dekat Semerah.

Di Sabah, seramai 450 orang daripada 160 keluarga dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon, Beaufort, setakat 8 pagi ini.

Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa berkenaan bertambah berbanding 402 orang daripada 143 keluarga dipindahkan ke PPS itu, semalam.

PPS tersebut dibuka pada 6.15 petang Khamis lepas, selepas lebih 10 kampung di Beaufort dan 20 kampung di Membakut terjejas berikutan hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Beberapa jalan menghubungkan kampung terbabit turut terjejas dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

– BERNAMA


Pengarang :