ADN Kota Anggerik, Najwan Halim menyerahkan cek kepada wakil sekolah ketika Majlis Agihan Cek Bantuan Infra Sekolah – Sekolah Negeri Selangor Fasa 2 Tahun 2019 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 30 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Bantuan infrastruktur sekolah dimanfaat sepenuhnya

SHAH ALAM, 30 DIS: Bantuan infrastruktur yang diberikan Kerajaan Negeri khusus kepada 401 sekolah di Selangor akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan pelajar.

Ketua Guru, Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Integrasi Telok Menegon, Siti Aishah Muhammed Noor berkata, peruntukan yang diperoleh akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur sedia ada yang banyak rosak akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab (penceroboh).

Beliau berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan pembinaan bangunan baharu sekiranya terdapat keperluan tambahan bilik darjah bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.

“Setakat ini kebanyakannya kita memerlukan proses baik pulih sebab selalu dipecah masuk oleh tetamu yang tidak diundang, jadi banyak duit digunakan untuk kerja tambah baik berpunca daripada mereka (pihak tidak bertanggungjawab).

“Kita ada tiga sekolah berdekatan dan sekolah ini hanya boleh menampung 190 murid. Sekurang-kurangnya kalau terdapat penambahan murid, kita harus mencari jalan untuk membuat satu lagi kelas atau bangunan di bahagian depan demi keselesaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra (Networking) Bersama Penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor Fasa 2 2019 di Ballroom Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang, Ganga Tharan menyifatkan peruntukan berkenaan penting untuk pembangunan sekolah ekoran bilangan pelajar yang ramai.

Gangatharan YDP SJKT Kajang

Katanya, pihaknya boleh membuat perancangan secara lebih terperinci bagi melaksanakan kerja penambah baikan dan aktiviti sukan di sekolah terbabit.

“Sekolah ini sudah lama dibina iaitu sejak 1999, walaupun ada bangunan baharu tetapi bilangan pelajar semakin ramai. Masalah paling utama ialah kerosakan tandas yang memerlukan kami untuk menggantikan paip baharu.

“Dana yang kami terima pada fasa pertama sebelum ini bagaimanapun sudah digunakan untuk menukar kerusi, meja dan pintu bilik darjah yang rosak,” katanya.


Pengarang :