Tengku Amir Shah (kanan) dan Tengku Datin Paduka Setia Zatashah (dua, kanan) berkenan bergambar bersama kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik ketika menyaksikan pementasan teater Madagascar The Musical di Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSISELANGOR

Kunjungan diraja ceriakan pesakit kronik

SHAH ALAM, 9 DIS: Keberangkatan anakanda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke pementasan teater Madagascar The Musical di Plenary Hall, KLCC pada 7 Disember lalu menceriakan kanak-kanak yang menghidap sakit kronik.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyokong usaha dan aktiviti anjuran Make-A-Wish Malaysia.

Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata badan bukan kerajaan itu ditubuhkan dengan matlamat merealisasikan impian pesakit kanak-kanak yang kritikal.

Tengku Zatashah yang turut mengiringi baginda adalah Penaung Diraja Make-A-Wish Malaysia.

Pementasan teater itu bersempena siri jelajah dunianya oleh Dreamworks Animation.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mementaskan teater muzikal berkenaan dengan membawa cerita Alex sang Singa yang menjadi tarikan utama di Central Park Zoo, New York.


Pengarang :