Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pemenang ketika Majlis Penamat Peringkat Akhir Dan Penyarungan Jersi Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Tour de Selangor uji kemampuan pelumba tempatan

SHAH ALAM, 22 DIS: Edisi kedua Tour de Selangor (TdS) 2019 yang melabuhkan tirai hari ini melakar sejarah tersendiri buat pelumba sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perlumbaan berprestij itu memberi peluang kepada pasukan baharu melalui cabaran yang menguji mental dan fizikal.

Malah, katanya acara dwitahunan itu bagi meningkatkan keupayaan sukan berbasikal sebagai persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 termasuk Le Tour de Langkawi.

“Saya gembira kerana acara yang dimulakan pada 2017 ini menjadi salah satu program paling dinantikan pelumba tempatan dan luar negara. Penyertaan dari Indonesia, Vietnam, Jerman serta Australia dilihat contoh terbaik memandangkan sebelum ini kita cuma menerima peserta dari negara ASEAN.

Peserta menamatkan perlumbaan berbasikal Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ia juga adalah sebahagian daripada latihan kepada pelumba menjelang SUKMA, jadi saya berharap segala kelemahan dan persediaan dapat diperbaiki,” katanya yang ditemui pada Majlis Penamat Peringkat Akhir Dan Penyarungan Jersi Tour De Selangor 2019 di Dataran Kemerdekaan di sini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Amirudin berkata pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kualiti dan status perlumbaan TdS kepada 2.1 bagi edisi akan datang dengan mengambil kira taraf pasukan yang diundang menyertainya.

Katanya perlumbaan kali ini masih kekal dengan status 2.2 seperti disyaratkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berdasarkan hadiah wang tunai RM70,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyarungkan medal kepada pemenang pada Majlis Penamat Peringkat Akhir dan Penyarungan Jersi Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa daripada segi hadiah, kredibiliti dan teknikal untuk membawa kejohanan ini ke tahap lebih tinggi.

“Untuk penganjuran dua tahun lagi, kita kena menyusun semula jadual seperti yang sudah dirancang untuk kita memperkenalkan Selangor di mata umum,” katanya.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan tempatan Team Sapura Cycling (TSC) muncul juara keseluruhan dengan catatan masa keseluruhan 46 jam 47 minit dan 46 saat.

Tempat kedua disandang pasukan berpangkalan di Vietnam, Bikelife Dong Nai dengan catatan masa 46 jam 56 minit dan 18saat, manakala ketiga menjadi milik satu lagi pasukan tempatan Terengganu Inc TSG Cycling Team dengan masa 47 jam 4 minit 9 saat.

Pelumba TSC, Marcus Culey pula muncul pemenang jersi kuning apabila menjadi pelumba terbaik dengan catatan masa keseluruhan 15:24:13s, serta muncul sebagai raja pecut dan raja bukit.


Pengarang :