PENDAPATRENCANA

Fenomena cakerawala sepanjang 2020

Oleh Nazli Ibrahim

 

FENOMENA cakerawala menyimpan rahsia dan keunikan tersendiri. Ada kejadian berlaku selang puluhan tahun, malah ada menjangkau ratusan tahun. Kejadian itu boleh disaksikan sama ada menggunakan teleskop atau pandangan mata kasar.

Misalnya, gerhana matahari Anulus atau gerhana cincin matahari pada 26 Disember lalu di beberapa negara termasuk Malaysia menjadi tumpuan. Pernah muncul pada 22 Ogos 1998, mereka yang tidak menyaksikannya terpaksa menunggu 22 tahun lagi.

Fenomena cakerawala turut mempengaruhi alam sekitar. Misalnya, kejadian Supermoon menyebabkan air laut pasang besar berlaku susulan tarikan graviti bulan yang kuat berikutan bulan berada pada posisi paling hampir dengan bumi.

Kejadian seumpama itu juga mempengaruhi tingkah laku haiwan. Mengikut dapatan kajian pelajar Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia di Zoo Johor Bahru, perilaku sekumpulan rusa, seladang, ular, gajah, harimau, singa dan monyet pasif ketika gerhana cincin matahari.

Keindahan kejadian di langit sentiasa menimbulkan keterujaan manusia. Berikut antara fenomena yang boleh disaksikan sepanjang 2020.

Hujan Meteor Quadrantid | 4 Januari

Hujan meteor Quadrantid dapat disaksikan antara jam 11 malam hingga awal pagi waktu Malaysia. Hujan meteor atau hujan tahi bintang aktif antara Disember hingga Januari.

Orang ramai berpeluang menyaksikan 120 meteor keluar dari pusatnya dari kumpulan bintang Quadrans Muralis atau Bootes dalam masa satu jam. Kejadian dinamai sedemikian berikutan Qarantids berpusat di kumpulan bintang Quadrans Muralis.

Supermoon | 3 pagi 7 April

Kedudukan bulan berada pada titik paling hampir dengan bumi dengan anggaran 221,772 batu (356,907 kilometer). Ketika itu, bulan penuh dan lebih terang berbanding biasa. Ia turut memberi kesan kepada pasang surut air laut.

Walaupun kejadian bulan penuh terbesar berlaku pada tahun ini, ia sukar dibezakan dengan bulan penuh biasa jika dilihat tanpa menggunakan peralatan lengkap.

Hujan meteor | 22 April, 13 Ogos, 21 Oktober, 14 Disember

Selain hujan meteor Quadrantid, terdapat lima variasi lain.

Pada 22 April, meteor Lyrids yang menghasilkan purata 18 meteor sejam memuncak pada tengah malam hingga subuh. Tahap penglihatan dijangka lebih baik berikutan tiada cahaya bulan.

Pada 13 Ogos pula, meteor Perseids yang menjadi
juraian paling aktif akan memuncak antara tengah malam hingga subuh. Purata meteor Perseids dianggar sekitar 110 meteor setiap jam. Namun, tahap penglihatan mungkin terhad kepada sebilangan meteor.

Meteor Orionids pula ketara pada 21 Oktober dengan tahap penglihatan tinggi kerana tiada cahaya bulan. Begitu juga hujan meteor Leonids. Kejadian itu dijangka berlaku pada 18 November dengan purata 10 hingga 20 meteor setiap jam.

Meteor Geminids pula terjadi pada 14 Disember. Sama seperti Leonids dan Orionids, Geminids mudah dilihat berikutan bilangan meteornya mencecah hingga 150 meteor setiap jam.

Gerhana matahari Anulus | 21 Jun

Gerhana matahari Anulus bakal terjadi. Namun kali ini, ia berlaku ketika bulan masih baru yang tidak menampakkan bentuk cincin sepenuhnya seperti enam bulan lalu.

Gerhana itu dapat dilihat di Afrika, Arab, Pakistan, Utara India, Selatan China dan Taiwan. Di Malaysia, gerhana tersebut hanya dilihat menutupi sebahagian matahari sahaja. Ia dijangka berlaku jam 2.50 petang sebelum waktu kemuncak 3.56 petang dan berakhir 4.54 petang.

Marikh bertentangan matahari | 10.30 malam 6 Oktober

Sama seperti pada 2018, planet itu berada pada kedudukan bertentangan dengan matahari pada 14 Oktober di Malaysia. Ini bermakna apabila matahari terbenam di Barat, Marikh terbit di Timur dan planet itu kelihatan sepanjang malam hingga subuh keesokannya.

Ketika itu, Marikh kelihatan lebih terang daripada biasa. Ia kesempatan terbaik untuk mencerap serta mengamati rupa bentuk planet menerusi teleskop.

Marikh juga kelihatan lebih tinggi 30 darjah di langit berbanding kejadian sama tahun 2018. Selain itu, pada 6 Oktober jam 10.30 malam, jaraknya dari bumi adalah 38.57 juta batu (62.06 juta km) dan lebih dekat lagi pada September 2035.

Kejadian sama berlaku terhadap planet Musytari pada 14 Julai dan Zuhal (21 Julai).

Musytari dan Zuhal berdekatan | 21 Disember

Musytari dan Zuhal kelihatan berdekatan kira-kira 20 tahun sekali. Apabila kedua-dua planet berselisih, kedudukannya dipisahkan satu atau dua darjah sahaja.

Kedudukan Musytari dan Zuhal boleh disaksikan menggunakan teleskop berkuasa tinggi. Kedua-dua planet merekodkan jarak paling dekat antara satu sama lain sejak 1623, hanya dipisahkan seperlima daripada
diameter bulan penuh.

Marikh, Musytari, Zuhal ‘berhimpun’ | 21 Mac

Planet Marikh, Musytarid dan Zuhal seakan-akan berkumpul di langit bermula awal Mac hingga minggu ketiga April. Jika tepat masa dan keadaan langit sesuai, semua planet itu dapat ‘dimuatkan’ dalam depaan tangan.

Ketiga-tiga planet kelihatan berlumba-lumba dan saling memotong antara satu sama lain. Lazimnya, Marikh paling laju manakala Zuhal paling lembab. Ketika fenomena berlangsung, Marikh dan Musytari hanya terpisah kurang satu darjah pada 21 Mac hingga ia kelihatan seperti dua bintang berkembar.


Pengarang :