Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad (dua, kanan) bersama delegasi Selangor pada Expo Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHX) 2020 di Jakarta, Indonesia pada 6 Februari 2020. Foto Ihsan TOURISM SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor destinasi pilihan pelancongan kesihatan warga Indonesia

SHAH ALAM, 6 FEB: Ekspo Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHX) 2020 yang bermula di Jakarta, Indonesia hari ini menjadi landasan terbaik untuk meningkatkan penjenamaan Selangor sebagai destinasi kesihatan unggul di rantau Asia Tenggara.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata faktor kedudukan, jaringan perhubungan dua hala yang efisien, kebudayaan dan kadar tukaran mata wang antara sebab negara itu berpotensi untuk Selangor mengembangkan pasaran pelancongan kesihatan.

“Pelancong Indonesia yang memasuki negara ini atas faktor pelancongan kesihatan terletak di tangga teratas dan daerah Petaling menjadi tumpuan buat mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Azrul Shah berkata, seramai 142,000 pelancong Indonesia direkodkan memasuki negari ini bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu dan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di Selangor meningkat daripada 135,000 pada  2015 kepada 240,000 orang pada 2018.

“Angka ini menunjukkan peningkatan purata hampir 13 peratus pada setiap tahun untuk tempoh tersebut.

“Justeru usaha promosi untuk pelancongan kesihatan dilihat mampu untuk mencatatkan pertumbuhan sebanyak tiga hingga lima peratus pada tahun ini,” katanya.

MHX 2020 berlangsung dari 6 hingga 9 Februari dengan pengisian seminar dan sesi pembentangan mengenai operator produk pelancongan kesihatan Selangor yang menawarkan perkhidmatan holistik dan rawatan perubatan.


Pengarang :