PBTSELANGOR

Kerajaan peruntuk RM5 juta baiki rumah di MPS

RAWANG, 6 FEB: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM5 juta untuk 18 projek penyelenggaraan perumahan di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, permohonan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) kepada KPKT tahun lalu diluluskan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), lapor Sinar Harian.

“Sebanyak sembilan projek diluluskan di Parlimen Selayang manakala selebihnya projek di kawasan Gombak, Damansara dan Sungai Buloh.

“MPS akan membuat taksiran sebelum proses tender pada April ini. Dijangka kerja penyelenggaraan akan bermula secara berperingkat Mei ini,” katanya selepas tinjauan di Pangsapuri Taman Pelangi semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat.

Sementara itu, Wei Kiat berkata, sebanyak empat projek penyelenggaraan perumahan di Rawang diluluskan melibatkan peruntukan hampir RM2 juta.

“Pangsapuri terlibat adalah Las Palmas Bandar Country Homes, Taman Tun Teja, Desa Sri Bayu dan Taman Pelangi.

“Kebanyakan projek adalah membaiki bumbung, ada juga libatkan membaiki lif, paip, pengadang tangga, pendawaian elektrik, tangki air dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JBM pangsapuri Taman Pelangi, Zulkefli Che Lah meluahkan kesyukuran selepas isu penyelenggaraan bumbung yang dihadapi sejak sejak enam tahun lalu akhirnya mendapat perhatian.

“Masalah bumbung bocor dan tercabut kerap berlaku setiap kali hujan lebat dan angin kencang, namun untuk baiki secara total kami tidak mampu kerana libatkan kos yang besar.

“Apabila permohonan penyelenggaraan ini diluluskan kami sangat gembira kerana sudah menunggu lama untuk penggantian bumbung melibatkan pangsapuri 200 unit ini,” katanya.


Pengarang :