Pasukan pengurusan jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menguruskan mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Mac 2020. Foto Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
AGENDANASIONAL

Dr Zulkifli: Pasukan urus jenazah pesakit Covid-19 wira negara

SHAH ALAM, 22 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan pasukan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 sebagai wira negara.

Melalui hantaran di Twitter, beliau berkongsi gambar pasukan tersebut yang memakai peralatan perlindungan peribadi ketika menguruskan pesakit yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

“Inilah pasukan pengurusan jenazah mangsa #COVID19 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ustaz Indra Faizal Abdul Rahim, Ustaz Muhammad Afif Jamal, Ustaz Mohd Fakhru Razi Mohd Yusof.

“Saya doakan semoga semua urusan mereka dipermudahkan Allah SWT dan dianugerahkan ganjaran yang besar di sisiNya atas pengorbanan ini,” tulisnya.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu turut meminta orang ramai membantu memperluaskan kempen #StayAtHome ke seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 1,183 kes positif Covid-19 dengan lapan kematian, manakala 114 pulih selepas menjalani rawatan serta kuarantin.


Pengarang :