AGENDABERITA UTAMANASIONAL

BNM: Operasi ATM terhad 7 pagi hingga 10 malam

SHAH ALAM, 22 MAC: Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan terminal layan diri dihadkan dari 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, maklum Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, perbankan dalam talian beroperasi sepenuhnya, manakala perkhidmatan pengurupan dan kiriman wang masih disediakan di cawangan bank.

“BNM menggalakkan orang awam menggunakan saluran elektronik. Jika tidak perlu, elakkan ke cawangan dan premis penyedia perkhidmatan demi keselamatan dan kesihatan anda.

“Jika masih perlu ke bank atau syarikat insurans, sila semak laman sesawang institusi tersebut terlebih dahulu untuk mengetahui cawangan yang dibuka atau hubungi talian khidmat pelanggan,” kata bank pusat itu melalui portal rasminya.

BNM memaklumkan semua bank menyediakan infrastruktur diperlukan bagi memastikan ATM di seluruh negara mempunyai bekalan wang tunai mencukupi, untuk memenuhi keperluan semua isi rumah dan perniagaan semasa tempoh perintah kawalan.

Sementara itu, katanya, semua bank dan institusi kewangan sedia menstruktur dan menjadual semula pinjaman kepada mereka yang terkesan susulan penularan Covid-19.

Maklumat lanjut boleh rujuk www.bnm.gov.my atau hubungi 1-300-88-5465 (Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang).


Pengarang :