Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

168 pesakit Covid-19 pulih, 134 kes baharu

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 168 pesakit pulih manakala satu lagi kematian akibat Covid-19 hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sehingga jam 12 tengah hari, hari ini adalah 2,276 kes iaitu 47.23 peratus daripada kadar keseluruhan kes.

“Sebanyak 134 kes positif baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan kes kepada 4,817 kes.

“Oleh itu setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj (dibenarkan keluar) dan kematian, jumlah kes aktif adalah 2,464 kes yang diasingkan serta diberi rawatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 66 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 36 memerlukan bantuan pernafasan.

“Satu kematian baharu direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes maut kepada 77, ia membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang serta peserta perhimpunan di Seri Petaling,” katanya.


Pengarang :