Jurulatih sambilan sukan angkat berat di Majlis Sukan Negara (MSN) Pulau Pinang M Thanabalasingam (tengah) memberi latihan kepada anaknya Logassree, 17, sambil diperhatikan oleh anak bongusnya Thurgashree, 13, (kanan). Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet perlu kawal komposisi badan ketika tempoh PKP

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Atlet kebangsaan dinasihatkan untuk mengawal komposisi badan bagi memudahkan proses mereka kembali ke gelanggang sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pakar sains sukan, Dr Mohd Khairi Zawi menjelaskan jika komposisi badan, iaitu peratusan lemak badan berbanding otot, tulang dan tisu badan berubah, atlet akan mengalami kesukaran untuk menyambung semula latihan intensif yang disediakan jurulatih sebelum PKP dilaksanakan.

“Kalau berubah (berat badan), seluruh pelan latihan akan turut bertukar. Contohnya, jika berhenti latihan ketika berat badan 55 kilogram (kg), semasa PKP berat naik 60 kg…memang ada kesan jika tidak kawal. Jadi bila mula latihan bersama jurulatih nanti, atlet tidak boleh mula latihan sama macam dia berhenti dulu.

“Maknanya, atlet kena bersenam untuk dapatkan berat asal 55 kg. Itu sudah dikira membazir masa mereka untuk berada pada kemuncak prestasi. Memang komposisi badan sangat sensitif untuk atlet prestasi tinggi.

“Maksudnya ialah jika berat badan dia berubah, maknanya program latihan yang dulu semuanya habis. Kena bermula dari awal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Khairi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan atlet perlu membuat senaman sekurang-kurangnya sejam sehari pada setiap hari bagi memastikan prestasi semasa mereka tidak merosot.

Beliau, bagaimanapun mengakui ketika tempoh PKP, tidak banyak yang boleh dilakukan atlet untuk meningkatkan prestasi mereka kecuali mengekalkan kecergasan masing-masing.

“Berbezanya atlet dengan orang lain ialah mereka tahu apa perlu dilakukan bagi mengekalkan kecergasan dan stamina. Sebab itu mereka kena bersenam setiap hari dan jika nak berehat, sila berehat selain daripada hujung minggu.

“Ini kerana bagi kejohanan berprestasi tinggi, hujung minggu biasanya akan berlangsung perlawanan separuh akhir atau akhir. Maka atlet perlu biasakan diri dengan bekerja lebih keras pada hujung minggu. Biar cuti hari lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kecergasan, Mohd Khairi berkata atlet perlu menumpukan perhatian dalam dua aspek kecergasan iaitu kesihatan dan kemahiran.

Aspek kesihatan terdiri daripada kapasiti aerobik, kekuatan otot, daya tahan otot, kelenturan dan komposisi tubuh manakala aspek kemahiran meliputi keseimbangan, kuasa, ketangkasan, kelajuan, masa reaksi dan koordinasi.

Selain aspek kecergasan, perkara membimbangkan Mohd Khairi yang juga penasihat kejurulatihan Johor bagi Sukan Malaysia (Sukma) ialah psikologi atlet yang terpaksa menghadapi tempoh PKP yang lama bermula 18 Mac dan dijangka berakhir 28 April ini.

Beliau seterusnya menasihatkan atlet agar menetapkan sasaran apa perlu dicapai pada setiap minggu supaya segala usaha yang tercapai menjadi motivasi untuk mereka kekal positif.

“Atlet perlu jaga emosi, psikologi. Minda kena sentiasa positif. Yang menjadi masalah psikologi dalam kalangan atlet ialah mereka biasanya tetapkan sasaran mereka berlatih untuk sertai kejohanan. Mereka ada sasaran.

“Namun disebabkan keadaan yang kita tidak pasti ini bila akan berakhir, mereka hanya berlatih tanpa ada hala tuju. Tiada sasaran hendak dicapai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :