PENDAPATRENCANA

Musim Covid-19 jadi `lubuk rezeki’ buat penjenayah

OLEH SAKINI MOHD SAID

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Seorang rakan saya berkongsi keterujaannya mendapat lima keping penutup mulut dan hidung secara percuma daripada kerajaan pada Rabu lepas (15 April).

Bagai “pucuk dicita, ulam mendatang”, rakan saya, Nurul Ain Alias sememangnya amat memerlukan penutup mulut dan hidung itu.

Bekerja sebagai peniaga ikan di Pasar Borong Selangor selain menguruskan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan di sekitar Lembah Klang, membuatkan beliau berisiko terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Gembiralah. Benda yang paling saya suka ketika ini tentulah penutup mulut dan hidung. Kalau disuruh pilih antara duit dengan penutup mulut dan hidung, sudah tentu saya pilih benda ini.

“Sebabnya, orang sudah mula takut dengan ancaman jangkitan Covid-19. Jadi, semua berebut hendak dapatkan penutup mulut dan hidung dan bagi saya ia amat berharga,” ceritanya kepada saya.

Menurut ibu kepada empat orang anak ini, skop pekerjaannya itu memerlukan dia mempunyai banyak stok penutup mulut dan hidung. Biasanya, Nurul Ain akan menukarkan penutup mulut dan hidungnya sebanyak tiga kali sehari kerana beliau mengutamakan keselamatan dirinya sepanjang masa.

Memandangkan beliau perlu menyimpan stok penutup mulut dan hidung dan kekangan untuk mendapatkan bekalan di kebanyakan farmasi, Nurul Ain terpaksa menukar arah kepada pembelian di laman media sosial, Facebook.

Keperluan mendesak menyebabkan beliau membuat pembelian di Facebook secara tergesa-gesa, tanpa memeriksa kredibiliti peniaga penutup mulut dan hidung dan akhirnya, dia menjadi mangsa penipuan scammers.

Sekotak penutup mulut dan hidung yang mengandungi 50 keping, dijual pada harga RM70. Apabila Nurul Ain menerima barangan yang dibeli di Facebook, dia mendapati ada hanya lima (5) keping penutup mulut dan hidung di dalam kotak berkenaan. Beliau cuba menelefon balik penjual tetapi usahanya gagal.

“Sedih sangat sebab saya memang perlukan penutup mulut dan hidung pada waktu itu. Saya cuba cari di merata tempat sehingga ke klinik, kalaulah boleh beli sekeping pun tak mengapa, tetapi tak ada, “ katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, sejak kebelakangan ini bekalan penutup mulut dan hidung mudah diperolehi tetapi perlu beratur panjang untuk membeli dan kuantiti dihadkan hanya lima keping untuk sekali pembelian.

Keadaan ini sudah tentu menyukarkan beliau kerana dia memerlukan kuantiti yang banyak.

Sememangnya, tidak dapat dinafikan sejak negara kita dilanda wabak Covid-19, dua benda yang menjadi tumpuan ramai adalah penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman.

Boleh dikatakan, berpusu-pusu orang ramai menyerbu mana-mana farmasi untuk mendapatkan barangan tersebut. Malah seorang pekerja di salah satu farmasi terkenal ibu negara pernah memberitahu saya mereka teruk dimarahi pelanggan gara-gara tiada stok barangan tersebut.

Kebimbangan sebahagian besar masyarakat untuk mendapatkan barangan tersebut tercetus pada penghujung Januari berikutan berlakunya peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini bahkan saya juga pernah ke hulu dan ke hilir mencari dua benda itu.

Biarpun, agak hampa kerana gagal mendapatkan barangan tersebut, namun tidaklah pula saya memarahi mereka sepertimana sesetengah pelanggan yang daripada bengang menjadi berang kerana barang yang hendak dibeli ketiadaan stok.

Memanglah orang yang hendak membeli barangan tersebut mahu menjaga keselamatan diri dan keluarga tetapi jika sudah tiada stok, bukankah lebih baik duduk sahaja di rumah seperti yang disarankan oleh kerajaan, daripada mencetuskan suasana tegang.

Di rumah, kita tidak perlu memakai penutup mulut dan hidung dan jika pun hendak mencuci tangan, memadai dengan menggunakan sabun serta air.

Langkah ini adalah terbaik bahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini juga ada memaklumkan bahawa cara terbaik melindungi daripada jangkitan wabak berkenaan atau apa-apa sahaja penyakit adalah melalui cucian tangan secara betul iaitu sekurang-kurangnya selama 20 saat dengan kerap.

Malah, kepentingan membasuh tangan menggunakan sabun dengan air juga adalah lebih baik jika kandungan alkohol di dalam pembasmi kuman tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk membunuh virus iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus.

Pakar Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee pernah dipetik sebagai berkata, tiada keperluan bagi individu sihat memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam berikutan penggunaan alat perlindungan itu sepatutnya hanya digunakan oleh individu yang sakit.

Datuk Dr Christopher Lee. Foto BERNAMA

Jadi, mengapa perlu panik sekiranya dua benda itu sukar dicari di pasaran?

Mungkin situasi pembelian berpusu-pusu ini disebabkan kurangnya pemahaman masyarakat selain daripada faktor kebimbangan mereka terhadap bahaya jangkitan Covid-19.

Dilaporkan, bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran sehingga 8 April meningkat kepada 25 peratus berbanding antara tiga hingga empat peratus sebelum ini. Bagaimanapun, peningkatan bekalan tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman dipetik sebagai berkata, permintaan penutup mulut dan hidung di seluruh negara ketika ini (berdasarkan berita 8 April) termasuk untuk hospital dianggarkan lima juta keping sehari, dengan pengeluaran oleh pengilang tempatan hanya 1.1 juta keping sehari dan selebihnya diimport.

Kekurangan serta kebimbangan, di samping permintaan tinggi serta kekurangan maklumat tepat akan rasional di sebalik keperluan barangan tersebut, akhirnya menjadi ‘lubuk rezeki’ buat kumpulan penyangak scammers yang mahu mengambil kesempatan.

Bukan sahaja Nurul Ain tetapi sudah ramai yang menjadi mangsa kepada penipuan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman ini.

Kumpulan penyangak ini bagaikan ‘menangguk di air keruh’, dan banyak juga berita sindiket penipuan barangan tersebut dilaporkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lepas ini.

Di Kepala Batas, Kedah, misalnya, seorang pekerja swasta wanita berputih mata selepas 610 kotak penutup mulut dan hidung jenis tiga lapis yang dipesannya secara dalam talian tidak diterima daripada pembekal meskipun membuat pembayaran sebanyak RM39,020.

Manakala di Kuantan, hasrat seorang peniaga menjual penutup mulut dan hidung bukan sahaja tidak kesampaian, malah mendakwa modal berjumlah RM24,000 lesap, akibat diperdayakan penjual barangan itu di laman sosial.

Secara keseluruhannya di seluruh negara, setakat 3 April, dilaporkan sebanyak 501 kes penipuan melibatkan penjualan barangan tersebut dengan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dipetik berkata dalam satu laporan media, jumlah itu adalah 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes penipuan penjualan penutup mulut dan hidung yang dilaporkan sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad. Foto BERNAMA

Dari Januari sehingga 3 April, sebanyak 556 kes penipuan penjualan penutup mulut dan hidung direkodkan dengan 401 kes membabitkan penipuan di laman Facebook diikuti 65 kes menerusi aplikasi WhatsApp, Mudah.my (27), WeChat dan Instagram masing-masing 16 kes, Shopee (10), telefon bimbit (8), Carousell dan Google masing-masing lima kes serta tiga kes bersemuka.

Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi dengan 64 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian lebih RM1.4 juta diikuti Selangor 119 kes (RM940,116) dan Pulau Pinang 55 kes (RM438,098).

Difahamkan, bukan penipuan ini sahaja berlaku ketika pandemik Covid-19, bahkan sindiket penipuan melibatkan akaun peribadi mangsa yang sering berlaku sebelum ini juga turut aktif.

Keadaan ini sudah tentunya sangat menyedihkan.

Oleh itu, berwaspadalah, kerana sindiket scammers tidak gerun dengan Covid-19 kerana mereka tetap ligat mencari mangsa.

Kalau hendak sungguh membeli penutup mulut dan hidup, carilah di mana-mana farmasi dan bukannya di laman maya. Jangan dedahkan diri kepada sindiket penipuan.

Peka, waspada, elak jadi mangsa scammers!

– BERNAMA


Pengarang :