SHAH ALAM, 5 APRIL: Kadar tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua turun 11 peratus apabila 368 individu ditahan menerusi sekatan dan rondaan polis semalam berbanding 413 hari sebelumnya, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 25,554 pemeriksaan mengejut dilakukan di seluruh negara dan 4,399 premis diperiksa pihak berkuasa.
“Orang ramai diminta memberi kerjasama kepada polis dalam pematuhan PKP. Terdapat insiden segelintir individu yang bukan sahaja mengingkari PKP bahkan menghalang tugas pihak berkuasa.
“Kegagalan mematuhi PKP kini sudah masuk kepada hukuman berat mengikut kanun keseksaan kerana semalam ada kes anggota dirempuh motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.
Secara keseluruhan sebanyak 745 sekatan jalan raya di seluruh negara dan 331,839 kenderaan diperiksa polis dan tentera.