Pasukan polis bersama tentera melakukan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di pekan Dengkil, Sepang pada 3 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis: Perintah kompaun jika masih degil patuhi PKP

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis bersedia melaksanakan Perintah Pengkompaunan terhadap masyarakat yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata langkah terbaik itu bagi menyedarkan masyarakat untuk bersama memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita sudah bersedia melaksanakan dasar ini dan menunggu keputusan rasmi. Bagaimanapun, terpulang kepada polis sama ada untuk membuka kertas siasatan atau mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar apa jua kesalahan sepanjang PKP,” katanya dalam wawancara khas di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata pihaknya akan menilai berdasarkan kesalahan yang dilakukan, sebelum menentukan sama ada pesalah dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan tindakan kompaun serta-merta di lokasi sekatan jalan raya Op Covid-19 akan dikenakan.

“Kompaun serta-merta tidak benar. Jika tindakan kompaun dilaksanakan, kita akan membawa individu yang melanggar PKP ke balai polis terlebih dahulu, sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac sehingga semalam, seramai 5,126 ditahan kerana melanggar perintah PKP.

Daripada jumlah itu, 2,294 individu dituduh di mahkamah.

-BERNAMA


Pengarang :