Petugas kesihatan memegang kit ujian sebelum membuat proses calitan bagi mengumpul sampel Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: 14 pesakit pulih, kes aktif 187

SHAH ALAM, 27 JUN: Sebanyak 14 kes pulih hari ini menjadikan kes aktif Covid-19 turun kepada 187, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes pulih di negara ini ialah 8,308 kes atau 96.4 peratus.

“Hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 10 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah positif adalah 8,616 kes.

“Empat daripada 10 kes baharu adalah jangkitan kes import membabitkan seorang warganegara dan tiga warga asing yang juga pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia kerana urusan kerja.

“Empat daripada enam kes penularan tempatan pula membabitkan rakyat tempatan manakala dua kes lagi dalam kalangan warga asing,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, justeru jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.4 peratus,” katanya.


Pengarang :