AGENDANASIONAL

Tujuh individu positif Covid-19 dihantar ke hospital

SHAH ALAM, 4 JULAI: Tujuh individu dihantar ke hospital kerana positif Covid-19 menerusi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan klia2 sejurus tiba dari luar negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka antara 1,171 rakyat Malaysia yang pulang semalam dan selebihnya 1,164 orang diperintah menjalani proses kuarantin wajib di rumah.

“Semuanya kembali dari Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia dan Filipina,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan hari ini.

Sejak 10 Jun lalu Kementerian Kesihatan membuat saringan ke atas 10,278 individu di KLIA dengan 10,231 individu didapati negatif dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib manakala 47 individu positif dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, 14 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilakukan meliputi tujuh zon di empat negeri antaranya Sabah (11), Melaka (enam), Sarawak (empat) manakala masing-masing dua operasi di Wilayah Persekutuan dan Perak.


Pengarang :