Orang ramai mengambil bekalan air dari tangki yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor ketika tinjauan di Lorong Raja Muda Abd Aziz pada 5 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih sejuta pemegang akaun terima bekalan air lebih awal

SHAH ALAM, 7 SEPT: Lebih sejuta pemegang akaun di tujuh wilayah menerima bekalan air pagi ini sekali gus lebih awal dari jangkaan.

Dato’ Menteri Besar berkata kecekapan beberapa agensi menangani masalah tersebut membolehkan bekalan air disalurkan lebih cepat.

“Sebanyak 73.37 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya setakat pagi tadi.

“Kita jangka masalah ini selesai pada 9 September namun hari ini 91 peratus pemegang akaun sudah menerima bekalan air,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menyampaikan ucaptama Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor meluluskan enakmen undang-undang berkaitan sungai yang akan dibentangkan Oktober ini.

“Kita kena faham dahulu masalah dan cara tanganinya. Bukan panik dan buat keputusan segera atau populis. Semua sungai di negeri ini sudah diwartakan sebagai kawasan rizab. Kita tegas dengan sebarang aktiviti bagi memastikan keadaan terkawal,” kata Amirudin.


Pengarang :