Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan bercakap kepada media selepas mencuba laluan baru Orang Kelainan Upaya (OKU) yang di bina Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPSJ mahu status bandar raya seiring perkhidmatan

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mahu status bandar raya yang bakal dimilikinya tidak lama lagi seiring dengan perkhidmatan kepada rakyat, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata justeru, pihaknya tidak mahu ada golongan yang tertinggal termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, bandar yang baik ialah bandar yang mudah diakses oleh semua penduduk.

“Oleh sebab itu kita perlu menaik taraf laluan untuk OKU, tetapi pada masa sama ia boleh digunakan oleh warga emas, ibu bapa yang membawa troli anak dan juga wanita.

“MPSJ mengutamakan projek sebegini kerana ia bukan saja memudahkan penduduk tetapi turut menjaga keselamatan mereka, dalam menuju status bandar raya, kemudahan sebegini perlu dititikberatkan,” katanya ketika sidang media.

Pada 25 Jun lalu, SelangorKini melaporkan status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandaraya akan berkuatkuasa mulai 20 Oktober selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sementara itu, pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain MPSJ, Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :