Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
SELANGOR

Polis serbu ‘disko haram’, tahan 43 warga asing leka berhibur

KLANG, 1 SEPT: Polis menahan 43 warga asing dalam serbuan di sebuah premis tiga tingkat yang diubah suai menjadi ‘disko haram’ di Bayu Perdana, di sini pada malam ambang Hari Kebangsaan, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun sedang leka berhibur.

Beliau berkata 40 daripada yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan 15 wanita warga Indonesia manakala tiga lagi merupakan warga Bangladesh dipercayai penjaga disko haram berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada mereka adalah pendatang tanpa izin dan ada yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Klang Selatan, di sini hari ini.

Beliau berkata disko haram yang dikesan mula beroperasi beberapa tahun lepas juga pernah diserbu beberapa kali sebelum ini namun mereka masih ‘berani’ menjalankan kegiatan sama.

Katanya, siasatan lanjut mendapati hanya individu yang mempunyai jemputan oleh pihak penganjur sahaja dibenarkan memasuki dan berhibur di disko haram berkenaan kerana kebanyakan yang ditahan tidak menetap di daerah Klang.

“Pengunjung disko haram itu adalah mereka yang menerima jemputan (daripada penganjur) menerusi media sosial kerana jika tidak mempunyai jemputan, individu itu dilarang untuk memasuki premis berkenaan,” katanya.

Shamsul Amar berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang pengoperasian disko haram tersebut dan kesemua warga asing itu direman sehingga 13 Sept ini untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :