Orang awam dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Ada kawasan terkawal, Selangor hantar cadangan balas isu PKPB

SHAH ALAM, 12 OKT: Selangor akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula Rabu.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” kata Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan hari ini.

Info grafik taburan kes Covid-19 mengikut mukim di Selangor pada 12 Okt 2020. Foto Facebook STFC

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan Kerajaan Negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan.

Baharu selesai mesyuarat MKN peringkat negeri, beliau mengulas pengumuman kerajaan persekutuan yang menetapkan PKPB selama dua minggu hingga 27 Oktober di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau menyifatkan pengumuman  Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai “agak mengejutkan” kerana Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang merekodkan “kes yang membimbangkan”.

Mesyuarat MKN Negeri turut dihadiri pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan untuk pelaksanaan PKPB.

Dalam kenyataan sama, Amirudin berharap komunikasi yang berkesan agar tidak mengelirukan petugas barisan hadapan dan juga orang ramai termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan muktamad melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” katanya.


Pengarang :