Kakitangan perubatan yang mengenakan sut perlindungan diri melakukan saringan Covid-19 secara pandu lalu di Prague, Czech Republic pada 7 Oktober 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 meningkat 563, dua kematian

SHAH ALAM, 12 OKT: Angka kes baharu Covid-19 meningkat kepada 563 kes, kedua tertinggi setakat ini berbanding 561 semalam dengan satu jangkitan dari luar negara membabitkan warganegara yang pulang dari Indonesia.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes positif dalam negara membabitkan 498 warganegara dan 64 bukan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan 16,220 kes.

“Daripada 562 penularan dalam negara, 10 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 363 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan, Sabah merekodkan kes tertinggi sebanyak 291 diikuti Pulau Pinang (141), Selangor (69), Kuala Lumpur (27), Negeri Sembilan (12), Kedah (10) dan Perak (empat).

Selain itu, Johor, Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing merekodkan dua kes baharu manakala masing-masing satu kes di Sarawak dan Melaka.

Dr Noor Hisham berkata angka kematian turut meningkat kepada 159 orang selepas dua kes baharu dicatatkan hari ini membabitkan wanita warganegara di Hospital Tawau dan wanita bukan warganegara di Hospital Tuaran, Sabah.

“Sehingga kini terdapat 98 kes positif yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 29 daripadanya memerluka bantuan pernafasan,” katanya.


Pengarang :