Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed (kiri) menampal notis penutupan kilang Top Glove Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tujuh kilang Top Glove di Jalan Teratai diarah tutup dua minggu

KLANG, 25 NOV: Tujuh daripada 28 kilang pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove di sini diarah tutup mulai hari ini sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Arahan penutupan sebahagian premis di Jalan Teratai itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed berkata tindakan itu susulan peningkatan mendadak wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang berkenaan.

“Penutupan hari ini adalah bagi fasa pertama dan akan ada kilang-kilang lain lagi yang akan ditutup. Terdapat empat fasa penutupan secara keseluruhannya.

Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow (tengah) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang Top Glove di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dalam tempoh 14 hari penutupan ini, pihak pengurusan kilang perlu melakukan saringan Covid-19 kepada pekerja, nyah kuman serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya kepada SelangorKini selepas menampal notis di Kilang F4 Top Glove Jalan Teratai di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow dan Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Pada 23 November, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat.

Setakat semalam, seramai 4,036 orang disahkan positif Covid-19 bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.


Pengarang :