Virus Covid-19 dikesan kali pertama di Wuhan, China, dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
ADNSELANGOR

PKM Bandar Utama ditutup 14 hari, seorang pegawai positif Covid-19

SHAH ALAM, 25 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar Utama ditutup dua minggu bermula semalam susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan seorang pegawainya.

Ahli dewan negerinya berkata pegawai yang juga ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 7, Leong Chee Cheng (John Leong) disyaki positif selepas mengalami gejala demam.

Jamaliah Jamaluddin berkata pegawai terbabit membuat saringan Covid-19 kelmarin telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami sedang mengesan individu yang pernah berurusan rapat dengan John Leong dalam tempoh dua minggu ini.

“Pihak kami akan membuat pemakluman terkini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat apa-apa perkembangan terbaharu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan pusat khidmat tersebut mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) sewajarnya sepanjang tempoh pengoperasian malah tidak dibuka kepada orang awam sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 Oktober lalu kecuali melalui janji temu bagi urusan penting.

“Pekerja kami yang lain akan menjalankan saringan dan kami akan mengaturkan kerja disinfenksi di kawasan PKM. Buat masa ini segala urusan melibatkan PKM ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.


Pengarang :