Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu kekal empat digit dengan 1,683 hari ini

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Kes positif Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,683 kes baharu direkodkan hari ini dan tiada kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan terbaharu itu jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 90,816 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, adalah 15,140 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara adalah sebanyak 1,675 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi dengan 692 kes, diikuti Sabah (260) dan Kuala Lumpur dengan 197 kes.

“Sebanyak 313 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (235 kes), Kluster Tembok (55 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), Kluster Bakti (8 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 432 kes.

“Sehingga kini, terdapat 106 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala bilangan kes sembuh 1,214 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 75,244 kes,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kluster baharu telah dikenal pasti hari ini dengan dua daripadanya membabitkan tempat pembinaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata dua kluster berkenaan ialah Kluster Tapak Bina Lebuh dan Kluster Tapak Bina Jalan Tengah yang dikenal pasti melalui saringan bersasar di kawasan berkenaan.

“Kluster Tapak Bina Lebuh melibatkan daerah Sepang di Selangor iaitu kes-kes ini telah dilaporkan positif bermula 15 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan, dengan sejumlah 285 individu telah disaring dan 20 kes dikesan positif Covid-19.

“Bagi Kluster Tapak Bina Jalan Tengah melibatkan daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur iaitu kes-kes ini telah dilaporkan positif bermula 3 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan, dengan sejumlah 245 individu telah disaring, dan 11 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata empat kluster lagi ialah Kluster Persiaran Heights, Kluster Sugud, Kluster Tembok Gajah dan Kluster Utama Rini.

“Kluster Persiaran Heights melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan iaitu kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-84673 telah dilaporkan positif 14 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 60 individu telah disaring, dan 21 kes telah dikesan positif Covid-19.

“Kluster Sugud pula melibatkan daerah Penampang dan Papar di Sabah iaitu kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-60068) telah dilaporkan positif pada 26 November melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 163 individu telah disaring, dan 26 kes telah dikesan positif,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, bagi Kluster Tembok Gajah, ia melibatkan daerah Kluang di Johor iaitu kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-87833) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 52 individu telah disaring, dengan 13 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kluster Utama Rini pula melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian di Johor yang membabitkan kes indeks ke-80177 telah dilaporkan positif pada 11 Disember melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 18 Disember, sejumlah 100 individu telah disaring dan 22 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :