Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran DUN Permatang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS Bandar Baru, Kuala Selangor pada 26 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 14 juta populasi dewasa lengkap vaksin – JKJAV

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Seramai 14,648,590 individu atau 62.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, seramai 19,389,392 individu atau 82.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548 dos.

Menurut JKJAV, 59.4 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, manakala 44.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 302,804 dos dengan 142,186 merupakan dos pertama dan 160,618 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :