SHAH ALAM, 24 DIS: Wakil-wakil rakyat terus melipatgandakan usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir besar minggu lalu.
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menyumbangkan set selimut dan cadar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Turut serta mengagih bantuan itu Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Sementara itu, wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizan Zaman Huri pula turun padang mengagihkan sumbangan makanan kering bagi meringankan beban penduduk di kawasannya yang terlibat musibah banjir.
“Bersama wakil Persatuan Usahawan Maju Malaysia menyantuni dan menziarahi penduduk yang sedang membersihkan rumah akibat banjir,” katanya menerusi Facebook.
Tidak ketinggalan menghulur bantuan ialah wakil rakyat Banting Lau Weng San yang menghantar barang keperluan ke PPS SMK Sungai Manggis.
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya telah membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membantu mempercepatkan kerja memperbaiki jalan berlubang di sekitar Sungai Rambai, Sungai Jarom dan Sungai Sedu disebabkan hakisan tanah akibat banjir.
“Kelihatan beberapa lubang jalan itu telah diperbaiki. Walaupun begitu masih terdapat banyak lagi yang masih belum diperbaiki,” katanya.