SHAH ALAM, 24 DIS: Pemantauan dijalankan di stesen pemindahan sementara sisa pepejal bagi memastikan kelancaran proses pembersihan pascabanjir di negeri ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata tindakan itu dijalankan bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) iaitu agensi Kerajaan Negeri yang mengendalikan kerja pembuangan sampah domestik dan pukal itu.
“Pemantauan keadaan stesen pemindahan sementara bersama KDEBWM bagi memastikan kerja pembersihan sampah pascabanjir lancar dan dapat memenuhi keperluan semasa.
“Walaupun dalam kapasiti tinggi, namun urusan ini tidak akan dilengahkan,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.
Sementara itu, KDEBWM menjelaskan operasi pembersihan pascabanjir telah dimulakan hari ini di beberapa kawasan terjejas antaranya di Hulu Langat, Puchong, Meru, Semenyih dan Kampung Bestari Jaya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj bersama pasukan sukarelawan membantu penduduk terjejas di kawasannya semalam dengan mengedarkan barang keperluan asas dan mengesahkan borang tuntutan banjir dibuat mereka.

Manakala Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa Mohd Sa’adon Muah bersama Pengerusi Ketua komuniti India Kapar K Chelvaraj Muniandy dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Sementa menghulurkan bantuan segera berupa barang keperluan dan wang tunai kepada satu keluarga mangsa banjir yang mendirikan khemah sementara di Jalan Benteng Kapar.
Mohd Sa’adon memaklumkan pihaknya sedang mencari rumah sementara untuk keluarga terdiri daripada 10 orang termasuk dua kanak-kanak yang tiada tempat tinggal apabila terpaksa keluar dari rumah sewa serta selepas pusat pemindahan sementara Sekolah Rendah Agama Kapar ditutup semalam.
