Kakitangan MBI menyerahkan sumbangan susu kotak Dutch Lady kepada wakil Majlis Bandaraya Shah Alam untuk diagihkan ke pusat pemidahan sementara pada 23 Disember 2021. Foto Twitter Ahmad Azri
AGENSISELANGOR

Bantuan MBI terus rancak, agih susu, makanan ke pusat pemindahan

SHAH ALAM, 24 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mangsa bah di negeri ini yang terkesan sejak Sabtu.

Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan meliputi 2,000 kit ujian air liur dan 2,000 kotak susu tajaan Dutch Lady kepada pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Shah Alam.

“Selain itu, 38 set toto turut diagihkan ke Kampung Kenangan, Batu 13 di Puchong,” maklumnya di Twitter.

Beliau berkata bantuan makanan dan 50 set alatan juga diberikan kepada sukarelawan dan petugas agensi negeri yang membersihkan kawasan terjejas sekitar Hulu Langat dan Kuala Selangor.

Sumbangan toto di Kampung Kenangan, Batu 13, Puchong pada 23 Disember 2021. Foto Twitter Ahmad Azri

MBI menyediakan 5,000 kit ujian air liur untuk diagihkan ke PPS seluruh negeri termasuk keperluan lain seperti susu formula, makanan dan lampin pakai buang.

Untuk maklumat lanjut berhubung bantuan MBI, rujuk Twitter Ahmad Azri di @reformist101.

Pada Sabtu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan semua agensi berkaitan membantu penduduk terjejas susulan banjir, termasuk memindahkan mereka ke PPS.

Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil di PPS, beliau berkata Kerajaan Negeri akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.

Setakat jam 3 petang tadi, seramai 17,912 orang masih ditempatkan di 94 PPS seluruh negeri.


Pengarang :