Sembilan hari selepas Palestin diserang Israel pada 10 Mei tahun lalu ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan, Kerajaan Negeri bingkas melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sebagai tanda solidariti dan prihatin terhadap warga negara itu.
Hasil kutipan disalur segera, ambulans dibeli menggunakan sumbangan pelbagai pihak bagi menggantikan kenderaan kecemasan yang musnah akibat serangan rejim Zionis Israel. Trak bantuan juga diserah kepada pertubuhan kebajikan di sana.
Wartawan Amin Ridzuan Ishak menemu bual wakil Global Peace Mission Malaysia (GPM) Nik Muhammad Nik Yusof yang berkongsi manfaat kepada warga Palestin menerusi bantuan yang disalurkan.
SUDAH menjadi kelaziman buat dua beradik warga Palestin, Marwan dan Ibrahim bermain berhampiran rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa. Namun, keadaan aman pada tanggal 11 Mei 2021 bertukar kelam kabut apabila serangan udara oleh rejim Zionis Israel membedil kediaman mereka di Beit Hanoun, utara Semenanjung Gaza.
Ketika serangan, Marwan yang berusia tujuh tahun manakala Ibrahim, 11, sedang bermain bersama di hadapan rumah. Ketika itu, seorang lelaki yang menjadi sasaran musuh melintas berhampiran sebelum letupan berlaku.
“Kedua-dua anak saya terpelanting dan syahid.
“Saya tidak dapat mencari alasan sama sekali walau apa pun dengan menyasar seseorang yang melalui kawasan kejiranan di mana ramai kanak-kanak sedang bermain,” kata bapa kanak-kanak berkenaan Youssef al-Masri seperti dilaporkan pada 12 Mei 2021.
Kejadian menyayat hati menimpa dua beradik itu berdasarkan laporan media antarabangsa membuktikan kekejaman Zionis Israel. Rejim itu menyerang Palestin selama 11 hari bermula 10 Mei 2021, ketika umat Islam negara itu menunaikan ibadat Ramadan. Tindakan sedemikian menambah garam ke luka sekali gus menyebabkan penderitaan lebih teruk.
Serangan ketika Ramadan seolah-olah sengaja direncana Israel. Lima peperangan dilancar oleh mereka sejak 2014. Peperangan pada tahun lalu yang berlanjutan sehingga 8 Syawal sebelum gencatan senjata menyebabkan 200 penduduk Palestin terkorban manakala 2,000 lagi cedera.
Rumah penduduk musnah, bangunan dan kemudahan antaranya ambulans pihak berkuasa negara itu turut terjejas. Serangan itu mengakibatkan Palestin semakin lumpuh dan memerlukan bantuan segera daripada pihak luar.
Umat Islam di seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan terhadap Israel. Suara itu turut kedengaran di Malaysia. Bendera Palestin dikibar sebagai tanda solidariti dan mengutuk serangan berkenaan.
Kerajaan Selangor tampil membela nasib penduduk Palestin yang tertindas di tangan Israel sejak 1948. Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin segera dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 19 Mei tahun lalu.
Mengikut perancangannya hasil kutipan tabung itu akan digunakan untuk membeli sebuah ambulans, dua Trak Bantuan Selangor (SELaid) dan ubat-ubatan. Semua bantuan diperlukan segera penduduk Palestin untuk kembali bangkit selepas serangan berkenaan.
Segera agih ubat
Kerajaan Negeri bekerjasama dengan GPM yang aktif menyalurkan bantuan kepada negara memerlukan termasuk Palestin. Kurang sebulan kutipan dilancarkan, bantuan pertama iaitu ubat-ubatan bernilai RM43,242 mula diagih.
Pelbagai jenis ubat antaranya bagi keperluan rawatan dialisis selesai diagih pada 8 Jun. Tiga bulan selepas itu pula, sebuah trak SELaid yang bernilai RM150,000 diserah kepada rakan strategik GPM di Palestin, Nour e-Marifa iaitu pada 3 September.
Selang 17 hari pula, bantuan ambulans menyusul kepada Kementeran Kesihatan Palestin. Kenderaan berharga RM350,000 itu dilengkapi peralatan rawatan awal dan pelbagai jenis ubat.
Kutipan dana berjumlah RM781,000 digunakan untuk menampung pembeliannya. GPM kini dalam proses menyerahkan sebuah lagi trak SELaid bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada penduduk memerlukan.
Bantuan pek makanan antara keperluan utama penduduk Palestin juga diagihkan. Nilainya berjumlah RM87,758.
Hampir enam bulan menabur bakti di bumi para nabi, dua kenderaan itu membantu ribuan penduduk kurang bernasib baik. Pesakit, orang miskin dan anak yatim dibantu menerusi pelbagai inisiatif.
Bantu ribuan penduduk
Menurut penyelaras projek antarabangsa GPM Nik Muhammad Nik Yusof, setakat September hingga Disember tahun lalu, seramai 3,000 pesakit dibawa menggunakan ambulans berkenaan.
“Ambulans itu dikendalikan sepenuhnya Kementerian Kesihatan Palestin, jadi kita tidak boleh jejak pergerakannya selalu. Ia sentiasa bergerak membantu membawa pesakit.
“SELaid pula kita letak bawah Nour e-Mariffa. Kenderaan itu sering mendapat tumpuan penduduk kerana warnanya yang menyerlah iaitu merah, kuning dan hijau…bila nampak orang tahu ada bantuan hendak disampaikan,” katanya kepada Selangorkini pada 30 Mac.
Gabungan warna merah, kuning dan hijau pada kenderaan SELaid itu merujuk kepada solidariti Selangor kepada Palestin yang berdepan ancaman dan konflik dengan Israel.
Sejak September lalu, kenderaan itu berfungsi bagi mengagihkan bantuan meliputi kawasan bermula dari Jabalia, Beit Hanoun, Nuseirat Camp dan Khan Yunis yang berkeluasan 30 kilometer persegi (km2).
Kata Nik Muhammad, kenderaan itu digunakan bagi menghantar bantuan alat persekolahan, perubatan, selimut dan pakaian untuk berdepan musim sejuk. Kesemuanya di bawah program GPM dan Nour e-Marifa selain kerjasama pertubuhan lain seperti We Care yang berpangkalan di Brunei.
“Kita juga guna SELaid untuk mengambil hasil tanaman yang dibeli daripada petani tempatan untuk diberi kepada penduduk memerlukan lain, ini cara kita bantu ekonomi mereka.
“Kenderaan itu memainkan peranan besar membantu melancarkan pengagihan bantuan, kita akan beli satu lagi trak SELaid seperti dirancang,” jelasnya.
Sentuhan Selangor dalam membela penduduk Gaza sememangnya dirasai. Sumbangan daripada kutipan itu sedikit sebanyak meringankan beban dan penderitaan dialami penduduk Palestin. Nik Muhammad berkata kejayaan itu membuka ruang untuk jalinan kerjasama pada masa depan.
Jelasnya, pertubuhan itu mempunyai pelbagai perancangan untuk membela golongan tertindas kerana kekejaman Zionis. Antara perancangan awal ialah menjalinkan kerjasama dengan hospital di sana untuk menghantar pesakit.
Jika perbincangan berjalan lancar, kenderaan SELaid mungkin boleh memainkan peranan penting dalam tugas itu dan bersama meringankan beban penduduk.
“Kita perlu terus bersama penduduk Palestin supaya mereka kekal di sana di sebalik pelbagai tekanan oleh Zionis, itu bumi mereka dan kita wajib bantu mereka,” katanya.
Konflik berlarutan Palestin-Israel
1897 – Theodor Herzl, presiden pertama Pertubuhan Zionis Antarabangsa, cadang penubuhan negara Yahudi pada persidangan di Basel, Switzerland
– Cadangan itu ditentang agamawan Yahudi namun kumpulan pelobi Zionis dapat sokongan Britain
1917 – Britain keluarkan Deklarasi Balfour pada 2 November untuk sokong hasrat penubuhan negara untuk Yahudi
1918 – Britain merampas pemerintahan Palestin dan Baitulmaqdis daripada Empayar Islam Uthmaniyyah
1941-45 – peristiwa Holocaust, pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi, oleh pemerintahan Nazi Jerman yang diketuai Adolf Hitler jadi alasan galakkan perpindahan ke Palestin
1948 – Yahudi isytihar penubuhan Israel pada 14 Mei, sehari sebelum penjajahan Britain tamat
– ratusan ribu penduduk Palestin diusir keluar sejak 15 Mei sehingga terpaksa berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza
– tarikh itu diingati setiap tahun, disebut Hari Nakbah, bagi mengenang bermulanya penindasan Zionis
1967 – Perang Enam Hari antara negara Arab dengan regim Israel berakhir ketewasan memalukan umat Islam
1993-95 – siri rundingan damai diadakan antaranya Perjanjian Oslo I dan II, sementara Perjanjian Cairo pada 1994
2014 – rundingan damai Israel dan Palestin terhenti pada Mac kerana isu penempatan haram Yahudi
2017 – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember tetapi dibantah dunia Islam
2018 – kempen Perarakan Pulang Besar-Besaran Orang Palestin dilancar pada 30 Mac hingga 15 Mei
– pasukan keselamatan Israel bertindak ganas dengan menyerang balas menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata
– sekurang-kurangnya 15 warga Palestin maut, manakala 1,400 cedera
2021 – peperangan antara Palestin dan Israel berlaku pada Ramadan akibat isu pengusiran penduduk di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur
2022 – sekali lagi konflik tercetus ketika Ramadan apabila pasukan keselamatan Israel serang ratusan warga Palestin yang solat di Masjid Al-Aqsa pada 15 April
Sumber:
‘Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel’ oleh Mohd Roslan Mohd Nor
‘Perjanjian Oslo: Kajian Terhadap Proses Damai Konflik Arab-Israel’ oleh Mohd Roslan Mohd Nor dan Siti Zaleha Hamzah