Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datin Dr Suzana Sulaiman di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 18 Mei 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

PKNS, UiTM jalin kerjasama pelihara hutan komuniti Shah Alam

SHAH ALAM, 18 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memelihara kawasan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF).

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata usaha pemeliharaan bertujuan memulihara habitat flora dan fauna dalam kawasan hutan milik perbadanan itu membabitkan lokasi seluas 34.5 hektar di Bandar Sierra Alam di sini.

Menurut Dato’ Mahmud Abbas, bagi merealiasi hasrat tersebut pihaknya dan UiTM akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat serta pelaksanaan dijangka tahun depan.

“Antara persetujuan dimeterai adalah PKNS bertanggungjawab menerapkan sebahagian daripada Hutan Komuniti Shah Alam sebagai ‘living lab’ bagi memajukan projek penyelidikan oleh pensyarah dan pelajar.

“Kita akan membantu dari segi penempatan dan pengurusan peluang latihan industri untuk pelajar UiTM memperoleh pendedahan dunia industri yang sebenar,” katanya selepas majlis menandatangani MoU antara PKNS dan UiTM di Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini.

Beliau berkata UiTM akan menyediakan tenaga penyelidikan dan perundingan berkaitan dengan pengurusan bandar dan kemudahan, sosioekonomi bandar, pelancongan dan rekreasi serta bidang lain berkaitan.

“Universiti itu juga akan membantu dalam pengurusan dan pembangunan lestari bagi kawasan Hutan Komuniti Shah Alam yang terletak di Bandar Sierra Alam,” katanya.

MoU itu ditandatangani Mahmud bagi pihak PKNS manakala UiTM diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datin Dr Suzana Sulaiman.


Pengarang :