Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangn Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bawa bukti dakwaan ganjaran raih undi ke Jawatankuasa Disiplin KEADILAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor
menentang keras amalan pemberian ganjaran untuk mengundi calon bertanding dalam pemilihan parti.

Menyifatkan gejala berkenaan kes terpencil dalam parti, Dato’ Seri Amirudin Shari yang bertanding jawatan naib presiden menganggap perbuatan itu serius dan perlu dibuktikan jika ada dakwaan.

“Saya percaya isu ini perkara terpencil tetapi ia harus dipandang serius. Sudah pasti hal ini sewajarnya ditolak dan ditentang jika ada bukti yang jelas.

“Setakat dakwaan banyak, macam-macam sekarang ini, tetapi yang penting pembuktian harus diberikan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor dan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menegaskan semua calon bertanding mesti mematuhi etika pertandingan bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib.

“Kalau benar-benar berlaku ada bukti, transaksi dan contoh boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan ahli KEADILAN mendakwa dikunjungi individu yang menawarkan ganjaran jika beliau menyokong salah seorang calon dalam pemilihan parti peringkat cabang negeri ini.


Pengarang :