Pengunjung mengikuti program Hati dan Minda Sasterawan yang menampilkan Datuk Baharuddin Zainal (kiri) dan Datuk Dr Zurinah Hassan (tengah) di Pavilion Selangor sempena PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masyarakat disaran belajar tatabahasa, kuasai bahasa Melayu yang betul

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Sasterawan negara menyarankan masyarakat Melayu meningkatkan pembelajaran tatabahasa selain memartabatkan penggunaan bahasa itu tanpa mengira keadaan.

Datuk Dr Zurinah Hassan berkata berdasarkan pengamatannya, masyarakat Melayu hari ini tidak menggunakan tatabahasa yang betul sekali gus menjejaskan penguasaan bahasa Melayu.

Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Berbanding dengan bangsa lain yang belajar dengan tatabahasa dan menggunakannya secara berhati-hati, kita orang Melayu perlu kuasai bahasa yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Hati dan Minda Sasterawan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Zurinah, bidang kesusasteraan adalah sesuatu yang realistik yang mengungkapkan perkara-perkara sebenar dalam kehidupan manusia.

“Ia mengungkap sesuatu yang indah, contohnya jika hendak marah pun mempunyai cara tersendiri. Namun, hendak tahu sejauh mana realistiknya perlu baca,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri.

Program Hati dan Minda Sasterawan pernah dianjurkan pada Pesta Buku Selangor tahun lalu dan menerusi PBAKL 2022 menampilkan beberapa sasterawan antaranya Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh, Fadli Al-Akiti serta Helmy Samad yang merupakan anak A Samad Said.


Pengarang :