Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin (kiri) menyampaikan bantuan persekolahan termasuk kalendar dan akhbar Selangorkini kepada ibu bapa ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang pada 10 Januari 2022. Foto Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Permatang hebah insentif negeri, pastikan rakyat terima manfaat

KUALA SELANGOR, 13 JUN: Ahli Dewan Negeri Permatang mengambil peluang menghebahkan insentif Kerajaan Negeri yang meringankan beban penduduk dalam program Selangor Saring.

Rozana Zainal Abidin berkata selain melakukan pemeriksaan percuma, orang ramai boleh mengetahui pelbagai program untuk meringankan beban rakyat seperti skim air percuma serta baucar beli belah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Wakil rakyat perlu gunakan program sebegini untuk uar-uarkan pelbagai program Kerajaan Negeri. Langkah ini menggalakkan kehadiran penduduk untuk periksa kesihatan mereka. Lepas saring, mereka boleh daftar pada agensi tertentu mengikut keperluan mereka.

“Dalam masa sama kita turut anjurkan cabutan bertuah dan beri cermin mata percuma kepada 50 peserta terawal. Hasilnya, dalam sejam sudah saring lebih 100 penduduk dan inilah matlamat kita,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, program kesihatan Selangor Saring di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya melibatkan penduduk DUN Permatang  dan Sungai Burong.

Antara agensi terlibat ialah Yayasan Hijrah Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Team Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Selangor Saring dianjurkan sejak 11 Mei dengan peruntukan RM3.4 juta yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :