Orang ramai tertarik melihat dron hybrid F16 yang dipamerkan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pavilion Selangor di pesta buku KL terima lebih 100,000 pengunjung

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 menerima lebih 100,000 pengunjung setakat 10 hari penganjurannya.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata antara agensi menjadi tarikan ialah Tourism Selangor dan Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

Agensi lain turut menarik perhatian pengunjung adalah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan KDEB Waste Management.

“Kehadiran pengunjung memuaskan berikutan lokasi strategik ruang Pavilion Selangor terletak di pintu masuk.

“Agensi terlibat di Pavilion Selangor memberi maklum balas positif mengatakan dapat berkongsi maklumat dan manfaat diberikan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 18 agensi terlibat berkaitan pendidikan bermula dengan kanak-kanak, biasiswa, peluang pekerjaan dan pengambilan bahasa ketiga.

Turut dibawa Program Hati dan Minda Sasterawan yang menampilkan beberapa sasterawan seperti Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Dato’ Baharuddin Zainal, Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh dan Fadli Al-Akiti.


Pengarang :