EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (belakang, kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (belakang, tengah) dan ADN Ijok Idris Ahmad (belakang, kiri) meninjau Program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Periksa tahap kesihatan, 30 peratus rakyat 18 tahun ke atas hidap darah tinggi

SHAH ALAM, 14 JUN: Sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai penyakit darah tinggi, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata darah tinggi merupakan penyakit berbahaya apabila tekanan darah seseorang itu berada pada nilai 140/90 mmHg atau lebih.

“Selalu rasa pening dan pusing kepala? ini mungkin tanda anda ada darah tinggi, ‘check’ cepat. Anda boleh jalani saringan kesihatan di program Selangor Saring.

“Lumrahnya, mengambil langkah proaktif cegah jauh lebih baik sebagai usaha memelihara kesejahteraan kesihatan diri dan keluarga. Saringan awal untuk kita tahu tahap kesihatan diri antara langkah terbaik boleh kita ambil,” katanya di Facebook.

Program percuma yang bermula sejak 22 Mei di lalu itu akan diteruskan lagi hujung minggu ini dengan lokasi terdekat akan dimaklum dari masa ke semasa.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :